suria

YPM Hab Dana Bantu Pelajar Bumiputera Miskin

Abdul Karim (tengah) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Sejajar matlamat untuk terus berperanan sebagai agensi utama Majlis Amanah Mara (Mara) yang melaksanakan pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Yayasan Pelajaran Mara (YPM) meletakkan sasaran mencapai status hab bagi mengumpul dana bantuan pelajar Bumiputera miskin.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, selama ini, program yang dilaksanakan yayasan membabitkan dana tahunan RM30 juta daripada Mara, selain sumbangan sektor korporat dan individu mencecah RM5 juta.

"Bagaimanapun, mulai sekarang YPM akan mengorak langkah untuk meningkatkan usaha menambah dana dengan kerjasama rapat rakan strategik bagi mencapai sasaran membantu kumpulan sasar terutama golongan kurang berkemampuan di luar bandar.

"Sebelum ini, sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menyumbang untuk program khusus YPM seperti menaja anak angkat, hafazan, tuisyen, bimbingan kerjaya, selain bantuan one-off untuk memenuhi keperluan pelajar sekolah rendah, menengah serta  pengajian tinggi.

"Jadi tiba masanya untuk YPM mengembangkan peranan sebagai hab yang mengumpul dana sebelum disalurkan kepada kumpulan sasar menerusi pelbagai inisiatif yang dirangka sebagai pilihan kepada penyumbang," katanya ketika ditemui mStar Online di pejabat YPM di sini.

Abdul Karim berkata, saranan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa supaya YPM menggandakan dana yang disumbangkan pelbagai pihak dilihat sebagai cabaran untuk yayasan itu.

Beliau percaya program murni yang dilaksanakan selama ini akan terus mendapat perhatian kerana ia ke arah pembangunan pendidikan pelajar, malahan dapat memperbaiki taraf hidup golongan kurang berkemampuan.




YPM, Abdul Karim Mustafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain