suria

Bersih 4: DBKL Hantar Bil Hujung Bulan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar bil tuntutan kos penugasan dan kerosakan bernilai RM61,840 kepada penganjur perhimpunan Bersih 4 sebelum hujung bulan ini, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Beliau berkata, jumlah berkenaan termasuk kos untuk kerja pemantauan, dan tindakan penurunan sepanduk, kain rentang dan pemadaman contengan berkaitan Bersih 4, pemasangan bendungan dan pagar serta kerosakan landskap dan perabot jalan raya.

"Dari 13 hingga 31 Ogos, sebanyak 231 sepanduk dan sebagainya telah diturunkan dan 677 pegawai dan anggota penguatkuasa perlu bertugas 24 jam dalam tiga shif untuk tugas kawalan dan pemantauan.

"Sebarang majlis yang diadakan di ibu kota, DBKL akan keluarkan permit dan kos kerosakan serta pembersihan adalah tanggungjawab penganjur," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL Ke-46 di sini, Selasa.

Beliau berkata, tuntutan tersebut dibuat melalui Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan DBKL dan menggunakan prosedur mahkamah yang betul dan jumlah itu tidak termasuk kos pembersihan dari Alam Flora.

"Sewaktu perhimpunan Bersih 3 DBKL ada buat pengiraan namun tidak membuat tuntutan kerana tidak ada bukti...kali ini persediaan telah dibuat dan kita ada bahan bukti seperti gambar untuk dibawa ke mahkamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Perhimpunan Baju Merah sedikit berbeza kerana penganjur memenuhi syarat yang dikenakan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Mereka menerima tempat yang kita cadangkan...namun penganjur juga tetap akan dikenakan caj dan perlu bertanggungjawab jika berlaku kerosakan pada harta benda," katanya. -- Bernama

DBKL, Bersih 4, bil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain