suria

15 Terpilih Terima Biasiswa Gamuda 2015

Seramai 15 pelajar meraikan kejayaan mereka terpilih sebagai penerima Biasiswa Gamuda 2015.

GAMUDA  Berhad,  sebuah syarikat kejuruteraan, hartanah dan prasarana di Malaysia baru-baru ini menawarkan biasiswa bernilai RM4.4 juta kepada 15 pelajar terpilih yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti sama ada di dalam atau luar negara.

Biasiswa tersebut merangkumi kos tuisyen dan perbelanjaan sara hidup penerima, selain diberikan peluang pekerjaan bersama Kumpulan Gamuda.

Daripada 15 penerima biasiswa pada tahun ini, lapan terdiri daripada wanita.

Ho Xinjin dan Laila Medina Mohd Zaid, antara penerima biasiswa tersebut tidak sabar untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

Xinjin, 20, akan mengikuti kursus Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Awan di Kolej Imperial London di United Kingdom.

Laila Medina, 19, pula akan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan.

Xinjin memilih untuk melanjutkan pengajiannya selepas menghabiskan tempoh bercuti dengan melakukan kerja amal membina rumah untuk golongan kurang bernasib baik bersama Epic Homes.

"Tempoh (cuti) 15 bulan memberi pengalaman berharga dalam hidup saya. Saya belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang lain. Saya juga dapat menguruskan masa dan juga diri sendiri dengan lebih baik," katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, Xinjin berkata:" Saya tidak sabar untuk bertemu pelajar lain dari seluruh dunia dan mengikuti pengajian di sebuah institusi yang mempunyai kemudahan terbaik dalam bidang kejuruteraan."

Xinjin yang berasal dari Petaling Jaya menanam impian untuk terlibat dalam projek pembinaan  Mass Rapid Transit Lembah Klang dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Lain pula ceritanya bagi Laila Medina, meskipun bidang ukur bangunan merupakan pilihan keduanya, beliau memilih untuk kekal positif.

Beliau menyamakan jurukur bangunan sebagai "doktor" untuk bangunan.

Mereka memeriksa keselamatan bangunan di semua peringkat, sama ada sebelum atau selepas selesai pembinaan.

Pada masa sama, Laila Medina menyifatkan proses temu bual biasiswa tersebut dua bulan lalu sebagai mencabar tetapi akhirnya memberikan pulangan bermanfaat.

"Saya fikir saya tidak berjaya melepasi beberapa peringkat awal. Tetapi saya teringat apa yang dikatakan salah seorang mentor supaya belajar daripada kegagalan dan teruskan kehidupan," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Pada tahun ini, Gamuda Berhad menerima 870 permohonan untuk biasiswa kumpulan tersebut, jumlah tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Calon yang disenarai pendek dikehendaki menjalani proses pemilihan yang sangat kompetitif termasuk bengkel (sepenuh hari), penilaian dan temu bual untuk mengukur kebolehan mereka, kecerdasan sosial, kualiti kepimpinan dan prestasi akademik.

"Pemberian biasiswa Gamuda bertujuan mencari pelajar berbakat yang layak dan membantu mereka melanjutkan pengajian di institusi terbaik sama ada di dalam mahupun luar negara," kata Pengerusi Gamuda Berhad, Datuk Mohammed Hussein pada majlis penyampaian biasiswa itu.

Turut hadir, Pengarah Gamuda Berhad, Raja Datuk Seri Eleena Azlan Shah mewakili syarikat menyampaikan biasiswa tersebut kepada 15 penerima berkenaan.


Gamuda Berhad, biasiswa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

6.7 Juta Tiada Lesen Memandu

Artikel Lain