suria

Dokumentari Al Jazeera: Komen Dr M Sama Seperti Hina Mahkamah

Dr Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai filem dokumentari terbitan Al Jazeera berhubung  pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, adalah sama seperti menghina mahkamah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Mula-mula sekali mahkamah telah pun membicarakan kes ini dan telah membuat keputusan.

"Adakah Dr Mahathir menyatakan bahawa mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan bahawa hakim-Hakim di Malaysia tidak jujur?

"Jika tidak mengapa Dr Mahathir mempersoalkan mahkamah dan membuat sindiran bahawa mahkamah tidak jujur, sebenarnya sama seperti menghina mahkamah," katanya menerusi catatan dalam blognya sskeruak.blogspot.my pada Isnin.

Salleh berkata Dr Mahathir harus ingat bahawa pada 1998 apabila beliau menjadi Perdana Menteri, dakwaan yang sama dibuat terhadapnya berhubung perbicaraan kes liwat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

".... Dan Dr Mahathir menjawab bahawa beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Anwar bersalah atau tidak. Malah seorang peguam yang mempersoalkan hakim telah didakwa kerana menghina mahkamah," kata beliau.

Selain itu, Salleh berkata ia bukan terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuktikan dirinya tidak bersalah seperti dicadangkan oleh Dr Mahathir.

"Ia adalah bagi mahkamah untuk membuktikan kebersalahan. Dan mahkamah telah pun membebaskan Abdul Razak Baginda.

"Jadi dengan apa cara lain Dr Mahathir mencadangkan supaya Najib membersihkan namanya? Adakah terdapat cara lain selain daripada melalui mahkamah?," katanya.

Artikel Lain