suria

Jerebu: Jadual Penerbangan PM Ke Sematan Diubah

Jerebu antara punca jadual penerbangan Perdana Menteri ke Sematan diubah.

KUCHING: Jadual perjalanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ke Sematan di Lundu, 107km dari sini menggunakan helikopter terpaksa diubah menggunakan kereta akibat jerebu.

Menurut pegawai di Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat (UPAK),  Jabatan Ketua Menteri Sarawak, keadaan berjerebu tidak sesuai untuk sebarang perjalanan menggunakan helikopter.

Perdana Menteri dijadual ke Sematan bagi menghadiri majlis pelancaran memulakan kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Telok Melano-Sematan.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 2.20 petang.

Turut serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ketibaan perdana menteri dan isteri disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri Puan Sri Empiang Jabu, Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin, wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional Sarawak, ketua-ketua masyarakat serta ketua-ketua kaum di negeri ini.

Perdana Menteri kemudiannya bergerak ke Sematan menggunakan kereta dan  perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira sejam tiga puluh minit.-- Bernama


Sematan, Perdana Menteri, Sarawak

Artikel Lain