suria

Jadikan Perang Satu Jenayah, Walau 100 Tahun - Tun M

PUTRAJAYA: Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) menggesa komuniti antarabangsa untuk menjadi suara keamanan bagi rakyat dan negara-negara, dalam usaha menjadikan perbuatan melancarkan perang sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Semasa membuat gesaan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PGPF akan terus memperjuangkan bahawa perang bukan penyelesaian terhadap konflik, malahan jika ia akan mengambil masa 100 tahun untuk mencapainya.

"Saya tahu ini akan mengambil masa dan kita perlu sabar. Kami harap usaha menentang perang ini dan memperjuangkannya, akan berjaya akhirnya tetapi kami sedar ini akan mengambil masa seperti perhambaan, yang mengambil masa hampir 200 tahun sebelum ia dihapuskan.

"Ketika ini, kami telah mengambil langkah pertama dalam usaha menentang peperangan. Ia mungkin mengambil masa 10, atau 100 atau malah 200 tahun untuk mencapainya," kata bekas perdana menteri ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dan syarahan umum padaprogram ke-4 Mahathir Global Peace School (MGPS) bertema, 'Keadilan, Keamanan dan Kemakmuran bagi Warga Global’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa.

MGPS, merupakan inisiatif PGPF khusus untuk membolehkan pelajar daripada pelbagai kebudayaan dan latar belakang mendapatkan pemahaman lebih mendalam berkaitan keamanan dan keselamatan, yang merupakan isu penting dan penentu masa depan manusia.

Kemudiannya pada sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata negara anggota ASEAN sepatutnya menandatangani perjanjian bagi mempromosikan keamanan sebagai penyelesaian untuk menamatkan konflik dan mencegah perang di rantau itu.

Memberikan contoh Malaysia yang menyelesaikan pertikaiannya dengan Indonesia, Singapura dan Thailand menerusi mahkamah dan rundingan, beliau berkata negara yang mengalami konflik perlu memilih untuk menyelesaikan isu itu menerusi timbang tara dan mahkamah antarabangsa, daripada melancarkan perang  antara satu sama lain.

Dalam menyelesaikan konflik melalui sistem perundangan, beliau berkata perluada perjanjian antara negara-negara untuk bersetuju atau menerima keputusan dibuat oleh mahkamah, tanpa mengira betapa negara itu terjejas olehnya.

"Kita perlu berkempen bahawa perang adalah jenayah, dan pihak yang melancarkannya seperti jeneral, perdana menteri atau menteri pertahanan mesti dihukum...," kata Dr Mahathir.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain