KUALA LUMPUR: Seramai 24 bayi 'Malaysia' dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini Rabu pada sambutan Hari Malaysia. Menurut Penyelia Jururawat HKL Matron Koay Poh Gaik, seramai 15 bayi lelaki dan 12 perempuan dilahirkan antara pukul 12 malam tadi hingga 5 petang ini dengan yang pertama lahir pada 12.28 malam. "Kesemua bayi dilahirkan secara normal dengan berat antara 1.24kg hingga 3.3kg," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Bagi pasangan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, Ryianniyanti Hussin, 27, dan Muhammad Nasruddin Omar, 26, bayi pertama mereka itu cukup istimewa kerana lahir pada hari bersejarah untuk negara. "Saya gembira dan bersyukur kerana selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.3kg yang merupakan anak sulung kami yang dilahirkan pukul 12.28 malam tadi, kerana mulanya saya dijangka bersalin pada hujung bulan ini. "Kami berharap bayi ini dapat menyumbang sesuatu kepada negara bila dewasa nanti," kata Ryianniyanti. Seorang lagi ibu, Nursyahira Zulkifli, 20, dan suaminya, Khairul Anuar Ahmad, 23, turut berkongsi pengalaman manis menyambut kelahiran bayi sulung pada tanggal 16 September. "Saya dijangka bersalin pada 27 September ini, namun tetap bersyukur kerana selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.62kg pukul 6 pagi tadi," katanya. Bagi pasangan Norazuraimi Ilias, 27, dan Mohd Kamarul Ikmi Mohd Razali, 33, kelahiran putera kedua mereka seberat 3.2kg pada 1.24 pagi disambut penuh kesyukuran. "Suami saya adalah insan yang paling teruja kerana bayi ini lahir pada tarikh 16 September dan kami berazam menanam semangat patriotik dalam diri anak kami ini," katanya. Di KUANTAN, sambutan Hari Malaysia pada Rabu penuh bermakna buat seorang eksekutif akaun sebuah syarikat swasta apabila selamat melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Pakar Kuantan (HPK) di sini. Menurut Rosmimi Sulong, 34, anak keempatnya seberat 2.6kg itu selamat dilahirkan di hospital tersebut pada pukul 9.40 pagi, dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor. "Saya merasa sakit hendak bersalin sejak malam tadi sebelum bergegas ke hospital ini dan bersyukur kerana selamat melahirkan anak keempat secara normal," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan hamper barangan bayi dan Jalur Gemilang daripada kakitangan hospital itu. Beliau yang berasal dari Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu tidak menyangka kelahiran anaknya itu berkongsi tarikh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia pada 1963. Beliau dan suami, Zainal Hussein, 41, setakat ini masih belum memutuskan nama yang sesuai untuk bayinya itu kerana terlalu teruja dengan kelahiran anak keempat mereka.