KEMAMAN: Keadaan Jerebu di sini yang semakin teruk telah memaksa lapangan terbang Kerteh ditutup kerana jarak penglihatan yang rendah. Pengurus Komunikasi dan Pehubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur, Zamri Mohamad berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memberi arahan untuk menghentikan sementara operasi semua penerbangan domestik dan perkhidmatan helikopter penghantaran pekerja luar pesisir. "Lapangan terbang itu telah diarah tutup oleh DCA sejak 10 pagi semalam," katanya ketika dihubungi. Malindo Air dan Firefly beroperasi dari lapangan terbang itu. Sebuah pesawat Malindo Air, yang berlepas pada 11.47 pagi semalam, adalah penerbangan yang terakhir berlepas dari lapangan terbang itu. "Penerbangan berlepas selepas jarak penglihatan meningkat kepada kira-kira 850 meter," kata Zamri. Beliau berkata, penutupan lapangan terbang itu dibuat apabila jarak penglihatan turun kepada 400 meter pada pukul 8 pagi. "Untuk ia dibuka semula, penglihatan mesti lebih daripada 800 meter untuk pesawat dan 1,500 meter untuk helikopter." Jurucakap Malindo Air berkata semua penerbangannya ke lapangan terbang Kerteh antara Rabu dan Isnin telah dibatalkan akibat jerebu yang semakin buruk. "Para penumpang yang terlibat akan diberi bayaran balik sepenuhnya atau mereka boleh memilih untuk menukar penerbangan mereka apabila operasi disambung pada Selasa," kata Zamri.