KUALA LUMPUR: Walaupun Himpunan Rakyat Bersatu sedang berlangsung di ibu negara pada Rabu, sekumpulan rakyat Malaysia memilih untuk melakukan sesuatu yang berbeza dengan mengadakan majlis santai sempena sambutan Hari Malaysia. Majlis itu menyaksikan seramai 15 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di KLCC Park di sini untuk menikmati makanan bersama-sama sambil beramah-mesra. Wakil kumpulan itu, Azrul Mohd Khalib berkata majlis tersebut diadakan untuk meraikan kepelbagaian rakyat di negara ini sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September. "Menjerit untuk menghina kaum lain dan menyifatkan satu kaum lebih baik berbanding kaum yang lain, bukan cara kami. "Kami menghormati hak mereka yang menyertai perhimpunan "baju merah" hari ini, tetapi kami ada hak untuk meraikan Hari Malaysia," katanya. Turut hadir pada perhimpunan itu adalah aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir yang memuji penganjur acara tersebut kerana menonjolkan sisi positif rakyat Malaysia. "Malaysia adalah milik kita semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. "Pada majlis ini, kami hanya duduk bersantai dan beramah-mesra antara satu sama lain. "Saya juga merakamkan penghargaan kepada sesiapa sahaja yang mengadakan acara positif pada hari ini untuk menyambut Hari Malaysia dengan cara yang positif," katanya. Peserta yang hadir membawa pelbagai jenis makanan dan minuman yang terdiri daripada sandwic, keropok lekor dan makanan segera.