suria

Ancaman Sebahagian Daripada Tugas Pendakwa Raya

PUTRAJAYA: Menerima ancaman merupakan sebahagian daripada tugas dan kerja seorang pendakwa raya tetapi itu tidak sama sekali akan menghalang mereka menunaikan tanggungjawab yang digalas, kata Pengarah Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Umar Saifuddin Jaafar.

"Ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. Pernah seorang timbalan pendakwa raya di sebuah negeri membuat laporan polis kerana menerima ancaman.

"Tugas kami adalah untuk melaksanakan pendakwaan berdasarkan lunas undang-undang. Keadilan mesti ditegakkan," ujarnya.

Menurut Umar, pada akhirnya mahkamahlah yang menjadi tempat keputusan muktamad dijatuhkan.

Bagaimana pun katanya lagi, dengan ancaman yang mereka terima sekarang, pendakwa raya mestilah berhati-hati dan berwaspada dengan tugas mereka.

"Kami mesti sentiasa berhati-hati dengan pergerakan kami. Kami juga mesti berhati-hati dengan tindakan yang bakal kami ambil kerana kesan yang bakal dihadapi adalah besar," kata beliau.

Menurut Umar lagi, terdapat lebih 500 timbalan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain termasuklah 24 timbalan pendakwa raya di SPRM.

Tambah Umar, mendiang Anthony Kevin Morais adalah juga kenalan dan rakan sejawatannya.

"Kami sama-sama pernah menjadi majistret di Perak. Saya di Ipoh dan mendiang di Sungai Siput. Dia adalah seorang pegawai perundangan yang sangat dedikasi terhadap kerjanya dan komited dengan apa yang dilakukannya.

Saya kehilangan seorang rakan yang baik," ujarnya lagi.

Tambah beliau, Morais yang dipinjamkan kepada SPRM selama 10 tahun seringkali mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.

Antaranya kes korupsi yang melibatkan seorang pegawai tinggi tentera berpangkat kolonel yang kesnya kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan juga kes yang melibatkan bekas ketua pegawai eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid.

"Kami tidak tahu sama ada Kevin pernah menerima sebarang ancaman atau ugutan kerana dia tidak pernah menyatakan apa-apa," jelas Umar.

Seorang lagi timbalan pendakwa raya, Ahmad Nazreen Zulkifli berkata, kerja mereka terdedah kepada pelbagai ancaman.

"Biasa keluarga pesalah akan cenderung untuk menyalahkan timbalan pendakwa raya dan melihatnya sebagai sesuatu yang peribadi tetapi tugas kami ialah untuk melakukan pendakwaan," katanya sambil menambah ancaman yang mereka terima termasuklah merosakan harta benda atau percubaan untuk mencederakan mereka.

Namun begitu, kata Ahmad Nazreen, mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mencadangkan supaya mereka diberikan latihan penggunaan senjata api dan dibenarkan membawa senjata api sebagai perlindungan diri.

Malah bekas ketua polis negara, Tun Haniff Omar turut mencadangkan agar Pejabat Peguam Negara mengizinkan kakitangan mereka membawa senjata api sebagai perlindungan.

Dalam pada itu seorang peguam kanan, Datuk Bastion Pius Vendargon yang dua kali terselamat daripada tembakan dalam jarak dekat dalam percubaan untuk membunuhnya berkata, orang yang cuba membunuhnya masih bebas dan tidak berjaya ditangkap.

Menurut peguam itu, dia ditembak sejurus sebelum mengendalikan satu kes di Mahkamah Rayuan melibatkan pertelingkahan berhubung wang berjumlah RM500 juta.

"Ia adalah pertelingkahan antara dua pelanggan. Saya tidak berasa terancam tapi akhirnya saya yang menjadi mangsa tembakan," katanya. 


Artikel Lain