PETALING JAYA: Angin taufan yang berlaku di bahagian timur Filipina mungkin akan menarik angin dan membawa jerebu kembali dari Indonesia ke Malaysia. Ini dijangka berlaku mulai esok dan boleh berlarutan sehingga awal bulan depan - bergantung kepada kekuatan taufan yang bakal berlaku. Angin taufan kini mula terbentuk di timur Filipina, kata jurucakap Jabatan Meteorologi, Dr Hisham Mohd Anip. "Antara sebab angin akan berpatah balik dari selatan adalah kerana pembentukan taufan tropika. "Angin akan membawa jerebu pulang ke Malaysia," katanya kepada The Star melalui WhatsApp. Ditanya berapa lama ia boleh bertahan, beliau berkata keadaan itu bergantung kepada kekuatan taufan dan bilangan pembakaran di Indonesia. Dr Hisham berkata walaupun tanpa pembentukan siklon, kawasan tekanan rendah masih akan menyebabkan perubahan arah angin yang akhirnya membawa jerebu kembali ke negara ini. Masalah jerebu rentas sempadan merupakan sejarah berulang melanda beberapa negara Asia Tenggara sejak dahulu lagi. Ia dikatakan berpunca dari Indonesia disebabkan aktiviti pembakaran hutan untuk tanaman kelapa sawit dan pulpa di negara itu.