suria

Pelajar Asing Di Malaysia Meningkat Lebih 100 Peratus Sejak 2007 - PM

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara Ke-9 kepada Prof Emiritus Tan Sri Dr Augustine Ong Soon Hock (USM) di Putrajaya, Isnin. Anugerah berupa wang tunai RM200,000, sebuah piala dan sijil penghargaan sebagai menghargai sumbangan Augustine Ong dalam bidang kimia dan teknologi minyak sawit. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia kini meningkat melebihi 100 peratus berbanding lapan tahun lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pada 2007 terdapat 45,000 pelajar antarabangsa di Malaysia dan jumlah itu mencecah kepada 106,000 orang setakat ini dan angka itu dijangka terus meningkat kepada 110,000 menjelang akhir tahun.

"Sehubungan itu, saya mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa menjadi 200,000 menjelang tahun 2020, dengan jangkaan sumbangan kepada ekonomi sebanyak RM15 bilion," katanya pada majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) kesembilan di sini malam Isnin.

Teks ucapan Najib dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Menjelas lanjut mengenai impak kehadiran pelajar antarabangsa kepada ekonomi negara, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata setiap pelajar antarabangsa berbelanja sebanyak RM46,000 setahun termasuk yuran pengajian.

Najib menarik perhatian apabila berkata bagi pelajar yang telah berumahtangga dan datang ke Malaysia dengan membawa keluarga, mereka dianggar berbelanja sebanyak RM88,000 setahun.

Katanya sektor pendidikan tinggi negara telah berkembang dan dianggarkan pada tahun ini ia mencapai saiz RM33 bilion merangkumi peruntukan perbelanjaan mengurus serta perbelanjaan pembangunan.

Tambah perdana menteri selain menarik pelajar antarabangsa ke Malaysia, kerajaan turut menubuhkan universiti penyelidikan untuk memacu penyelidikan akademik negara.

Pada masa sama kerajaan komited untuk memastikan semua lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM); Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat tempat yang agak terbaik di dunia, katanya.

"Menerusi premis ini kita dapat mengurangkan penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara untuk Ijazah Doktor Falsafah dan menjimatkan pengaliran wang keluar sekurang-kurangnya RM2 bilion dalam tempoh 2007-2012 sahaja," kata Najib.

Menyentuh tentang AAN, Najib berharap ia menjadi pemangkin kepada budaya akademik cemerlang serta menjadikan Malaysia sumber rujukan pendidikan bagi rantau Asia dan global.

"Ia penting dalam usaha kita (Malaysia) menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.

Sementara itu, Idris berkata sepanjang tempoh penganjuran AAN, 49 warga akademik IPT dalam pelbagai bidang telah diiktiraf sebagai penerima.

"Penganugerahan ini adalah berdasarkan sumbangan bakti mereka bukan sahaja kepada pelajar dan institusi pengajian tinggi itu sendiri, malah kepada masyarakat dan negara," katanya.

Tambah Idris anugerah tersebut juga merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan ikon atau "role model" akademia.

Pada majlis itu Prof. Emeritus Tan Sri Dr Augustine Ong Soon Hock dari USM menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara kesembilan, manakala Prof Madya Fatimah Puteh dari UTM; Prof Madya Dr Raja Nor Safinas Raja Harun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, masing-masing menerima Anugerah Pengajaran - Kelompok Sastera dan Sains Sosial.

Penerima lain ialah Prof Dr Rahmah Noordin dari USM (Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk); Prof Madya Dr Lean Hooi Hooi (ulang: Dr Lean Hooi Hooi) dari USM (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal-Bidang Sains Sosial dan Sastera); Prof Dr Hany Mohd Ariffin dari UM (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal-Bidang Sains); dan Prof Madya Dr Lim Jit Kang dari USM (Anugerah Ahli Akademik Harapan).

AAN diwujudkan khusus untuk sarjana dan kesarjanaan peringkat tertinggi di Malaysia bagi ahli akademik yang menabur khidmat di IPT berdasarkan sumbangan dalam bidang pengajaran, pemindahan dan pengembangan ilmu; penemuan ilmu baharu serta penulisan dan penerbitan.

Artikel Lain