suria

Malaysia Perlu Pertingkat R&D Produk Halal - TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) mencuba produk halal ketika melawat pameran selepas merasmikan Halal Ingredients Asia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan terhadap bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) berkaitan ramuan halal dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat keperluan untuk terus memperkenalkan pembaharuan melalui inisiatif R&D kerana pengeluar kini mencari alternatif terhadap penggunaan produk halal bagi menggantikan kebanyakan ramuan tidak halal di pasaran.

"Sektor ini penting kerana ia adalah salah satu komponen utama dan penting dalam mengekalkan kemampanan industri halal," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program 'Ramuan Halal Asia 2015 (HLIA 2015) di sini Isnin.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk menggalakkan pelaburan dan perdagangan dalam industri halal.

"Kita berjaya membangunkan industri ini  dan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal di dunia," katanya.

Program HLIA 2015 anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC)  bertujuan menyediakan platform kepada peserta untuk mempertingkatkan pembangunan industri halal.

Menurut Ahmad Zahid, semua produk halal yang baharu perlu menjalani proses R&D dengan teliti bagi memastikan ia terbukti halal.

"Sektor ramuan halal dikenal pasti sebagai salah satu elemen kritikal dalam industri tersebut," katanya.

Beliau berkata syarikat pengeluar ramuan halal menghadapi isu serius dan cabaran termasuk kajian R&D dan bahan asas yang terhad untuk menghasilkan produk halal.

"Sebagai contoh, bekalan gelatin halal masih sangat rendah kerana ia adalah salah satu perkara yang paling biasa digunakan dalam pengeluaran produk makanan, kosmetik, dan farmaseutikal.

"Pada ketika ini, 90% bahan-bahan untuk menghasilkan gelatin adalah berasaskan haiwan," katanya.

Ahmad Zahid berkata sebahagian besar minyak berasaskan haiwan ini boleh digantikan dengan produk minyak sawit.

"Kita berjaya membangunkan teknologi berasaskan kelapa sawit. Antara alternatif ramuan halal yang diperbuat daripada minyak sawit termasuk pengganti lemak haiwan halal dan pengemulsi," katanya.

Pada tahun lalu, eksport produk halal direkodkan dari syarikat berdaftar sebanyak RM37.7 bilion manakala ramuan halal dianggarkan sebanyak RM12.16 bilion.

Kira-kira 188 syarikat yang mengeksport ramuan halal di negara ini.

Halal, Ramuan

Artikel Berikut

Artikel Lain