suria

Jerebu Kembali Landa Sarawak

Imej terbaharu dari satelit NOAA-18 yang dirakamkan menunjukkan pembakaran lebih besar dengan kira-kira 475 titik panas direkodkan di Borneo pada Isnin.

KUCHING: Jerebu kembali melanda Sarawak dengan bandar Sri Aman yang terletak kira-kira 160 kilometer (km) dari ibu negeri, mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada bacaan 112, Sri Aman antara daerah yang teruk dilanda jerebu di negeri itu, pagi Selasa.

Di Kuching, IPU direkodkan pada bacaan 80, meningkat dari hanya 44 pada Isnin.

Sibu pula merekodkan bacaan IPU 73 manakala Miri, 35.

Perubahan arah angin sejak petang Isnin dipercayai akan mengembali jerebu ke negeri ini.

Jarak penglihatan di Kuching merosot di bawah 800 meter.

Pusat Meteorologi Khas Asean yang berpangkalan di Singapura melaporkan banyak bahagian di Kalimantan terus diselubungi asap jerebu tebal disebabkan cuaca panas.

Di Sumatera, hujan yang turun sejak beberapa hari lalu membantu mengurangkan jerebu tebal di kawasan tersebut.

Imej terbaharu dari satelit NOAA-18 yang dirakamkan menunjukkan pembakaran lebih besar dengan kira-kira 475 titik panas direkodkan di Borneo pada Isnin.


jerebu, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Lain