KUCHING: Jerebu kembali lagi dan menjelang tengah hari bahagian Kuching merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 96 berbanding 76 pada 8 pagi Selasa. Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) Mohd Nadzim Hashim berkata pada 12 tengah hari tadi, tujuh penerbangan terjejas membabitkan 668 penumpang. Katanya ia membabitkan dua penerbangan keluar dengan 448 penumpang dan lima penerbangan masuk melibatkan 220 penumpang. Mohd Nadzim berkata penumpang yang terjejas melibatkan syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AirAsia, penerbangan antara Sibu dan Kuching serta Bintulu dan Kuching. "Jarak ketampakan di KIA serendah 800 meter pagi ini sebelum meningkat 900 pada sebelah tengah hari. "Semua penumpang pesawat di KIA dinasihat untuk memeriksa jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang, khuatir jika berlaku sebarang gangguan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. Sementara itu menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia, IPU Sri Aman merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 116, yang tertinggi di negeri ini, diikuti Kuching yang merekodkan bacaan sederhana, 96, Samarahan 90, Sarikei 85 dan Sibu bacaan 74.