KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengenai penglibatannya dalam perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini. Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selama sejam bermula pukul 11 pagi Isnin. "Saya tidak dimaklumkan mengenai sebarang salah laku tetapi mereka memberitahu saya dipanggil mengikut Akta Perhimpunan Aman," katanya. Polis turut menyiasat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kerana mendakwa polis digunakan Perdana Menteri untuk "menutup mulut sesiapa sahaja" yang cuba mendedahkan salah laku melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis melihat ia sebagai satu dakwaan yang serius. Katanya, Mahfuz sepatutnya tahu bahawa siasatan terhadap 1MDB masih dijalankan. Mahfuz disiasat berhubung kenyataannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan polis untuk menahan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.