PENGASAS Malaysia Book of Records (MBR), Tan Sri Danny Ooi mengumumkan perunduran beliau pada sambutan ulang tahun ke 20 yang berlangsung dengan penuh warna-warni, minggu lalu. Susulan perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Pengurusan PKT Logistics Group Sdn Bhd, Datuk Michael Tio akan menerajui kumpulan itu sebagai CEO MBR yang baharu. Dalam ucapan beliau pada jamuan itu, Ooi mengucapkan penghargaannya kepada semua yang menyokongnya selama ini. "Selain Rekod Dunia Guinness, kurang dari 10 negara dalam dunia yang ada buku rekod mereka sendiri dan saya amat bangga dengan MBR yang berjaya mengatasi negara lain. "Kesimpulannya, semuanya mengenai minat, ketabahan dan sabar. Sebab itulah tidak banyak negara yang terlibat dalam penyimpanan rekod ini. "Rekod Dunia Guinness juga kagum dengan kejayaan MBR semasa saya melawat mereka di London, Mei lepas," katanya. Ooi berkata idea untuk menubuhkan MBR tercetus pada 1989 dan ia menjadi realiti enam tahun selepas itu. Beliau mengimbas kembali kesukaran yang mereka hadapi seperti kerugian RM800,000 modal dalam masa 18 bulan dan bagaimana meneruskan operasi sendirian selepas rakan kongsinya menarik diri. Ooi dan MBR telah lalui perjalanan panjang sejak dahulu. Sejak bertahun-tahun lamanya, sembilan edisi buku MBR telah diterbitkan. Edisi ke 10 akan diterbitkan pada April tahun hadapan. Sebelum acara bermula, Ooi menunjukkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin. "Saya harap impian untuk mewujudkan muzium itu menjadi realiti," katanya ketika merasmikan pelancaran buku "Coffee Table MBR". Pemegang rekod MBR turut menghadiri makan malam tersebut dan mempamerkan bakat mereka. Untuk seni mempertahankan diri, Ho Ro Bin pemegang pingat emas dalam Kejohanan Wushu Dunia dan anak muridnya, Alvyn Toh, pemegang rekod baharu dan termuda untuk pingat emas kategori lelaki pada dua kejohanan wushu antarabangsa, dan juga pemegang rekod terbesar persembahan silat cekak. Tetamu juga tertarik dengan persembahan Pinky Loo, pemegang rekod menukar kostum terbanyak dalam beberapa minit. Ramai yang mempersembahkan kehebatan dalam muzikal seperti artis India yang mengeluarkan album Melayu, Prabu Sritharan; pemain violin termuda, Koay Zhi Tong; Iqhwal Hafiz artis pertama merekod album lagu 1Malaysia dalam enam bahasa; calon termuda Anugerah Kuda Emas Crystal Lee dan penyanyi pertama tercalon dalam carta lagu British, Dasha Logan. Jorynn Chee, ahli silap mata wanita pertama yang menerima anugerah berprestij Merlin dari Amerika Syarikat ini memainkan alat muzik angklung bersama adik-beradiknya dan tidak ketinggalan, pengacara Datuk Mahadzir Lokman berupaya menguasai pelbagai bahasa menyanyikan lagu Tionghua.