KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju melantik seorang anggota Parlimen Belia bagi menganggotai Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP). Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pelantikan itu adalah bagi membantu menilai cadangan wakil golongan belia dalam menentukan sistem dan peraturan yang akan digunakan bagi menambahbaik sistem pengurusan kewangan dan dana politik. "Saya memaklumkan pelantikan tersebut kepada Pengerusi JKNMPP, Senator Datuk Paul Low selepas Mesyuarat Jemaah Menteri tadi," katanya semasa menggulung perbahasan persidangan ketiga Parlimen Belia Malaysia (PBM) di Dewan Rakyat, Selasa. Sambil menganggap pelantikan itu sebagai satu pembaharuan bersejarah, Khairy berkata pelantikan itu adalah susulan cadangan menambahbaik sistem pengurusan kewangan dan dana politik yang merupakan antara empat usul yang dibentang, dibahas dan diluluskan dalam dua hari persidangan yang dihadiri 125 anggota belia pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara. Pada 14 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif. Perkara lain yang turut menarik perhatian dalam persidangan PBM hari ini ini ialah usul mewujudkan program 'Bahasa Inggeris Di Kawasan Pedalaman' bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar bandar. Usul lain adalah cadangan supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan sekolah satu aliran untuk memperkukuh perpaduan masyarakat bermula dari peringkat sekolah. Persidangan itu turut meluluskan usul mengawal selia pengedaran, penjualan dan penghasilan rokok elektronik (vape) yang semakin popular dalam kalangan belia di negara ini. Khairy berkata segala perkara yang dibangkitkan semasa persidangan itu akan diproses dan dijadikan laporan untuk diajukan kepada Kabinet sebelum diserahkan kepada mana-mana kementerian untuk tindakan lanjut. Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan perdana menteri kira-kira dua tahun lepas bertujuan melahirkan barisan pemimpin pelapis.