KUALA LUMPUR: Honda Malaysia pada Rabu mengumumkan kemas kini produk bagi model City Generasi Keempat (tahun pengeluaran, 2014) dan Jazz Generasi Ketiga (2015) melibatkan 12,232 unit City dan 97 unit Jazz. Syarikat itu berkata langkah tersebut berikutan perisian kawalan tekanan hidraulik yang tidak wajar melibatkan transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT). "Kempen itu perlu untuk membaiki Modul Kawalan Kuasa Enjin (PCM) melalui kemas kini perisian CVT yang mempunyai perisian pengurangan tekanan," katanya dalam kenyataan. Setakat ini, tiada kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan isu itu dilaporkan di Malaysia. Pengeluar kereta itu juga menekankan model jualan semasa yang lain tidak terjejas dengan kemas kini produk tersebut. Pelanggan akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang mengandungi butiran mengenai kemas kini produk itu. "Pelanggan yang menerima surat tersebut dinasihatkan menghantar kenderaan mereka ke pengedar Honda yang berhampiran untuk pemeriksaan. "Sebarang caj berkaitan dengan kemas kini produk itu akan ditanggung oleh Honda Malaysia," katanya sambil menambah pemilik juga boleh menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA