suria

Jemaah Haji Wukuf Hari Ini

Jemaah haji menghabiskan masa dengan solat sunat, membaca al-Quran dan berwirid sementara menunggu waktu menunaikan wukuf di Arafah, Rabu.

ARAFAH: Tiga juta umat Islam dari seluruh dunia, termasuk lebih 22,000 jemaah Malaysia berhimpun di Padang Arafah pada Rabu bagi menunaikan wukuf yang menjadi rukun ibadat haji.

Berwukuf adalah kemuncak ibadat haji dan semua jemaah haji perlu berada di bumi Arafah pada hari ini.

Jemaah haji dari Malaysia meninggalkan kota Makkah secara berperingkat mulai tengah hari Selasa.

Kesesakan lalu lintas yang dianggap ketara berikutan pergerakan jemaah ke Arafah bagaimanapun tidak terlalu serius kerana hanya mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk tiba di Arafah.

Ketika berita ini disiarkan iaitu sekitar pukul 7 pagi (waktu Arab Saudi) semua jemaah baru saja menikmati sarapan selepas menunaikan solat Subuh di khemah masing-masing.

Penulis di maktab 68 yang menempatkan kira-kira 4,000 jemaah dan sebahagian besar dari Malaysia dan Indonesia.

Pengisian seperti tazkirah, solat sunat dan membaca al-Quran antara aktiviti jemaah sementara menunggu masuk waktu wukuf pada jam 12.30 tengah hari ini.

Dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius,  jemaah dinasihatkan agar minum banyak air dan mengehadkan aktiviti di luar khemah untuk menjaga  kesihatan.


wukuf, Arafah, haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain