suria

Polis Beri Amaran Kepada Penyokong Baju Merah

KUALA LUMPUR: Tindakan akan diambil sekiranya penyokong baju merah meneruskan rancangan untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Petaling Street pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mengganggu ketenteraman atau keselamatan awan.

"Kami tidak pernah bersetuju dengan perhimpunan jalanan atau demonstrasi.

"Penunjuk perasaan akan dikenakan tindakan sekiranya berniat untuk meneruskan perhimpunan tersebut," katanya kepada The Star pada Rabu.

Tajuddin berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menghasut ketegangan kaum.

"Keutamaan kami adalah ketenteraman dan keselamatan orang awam," katanya.

Beliau berkata polis masih belum menerima sebarang notis atau permohonan permit dari Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos atau individu lain untuk mengadakan perhimpunan.

"Sebarang perhimpunan perlu melalui prosedur yang sepatutnya.

"Jika mereka mahu mengadakannya, jadi perhimpunan tersebut perlu diadakan di tempat sepatutnya," kata Tajuddin.

Pada perkembangan berasingan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata polis sudah bersedia untuk perhimpunan yang dicadangkan diadakan pada Sabtu ini.

"Kami tidak pasti apa tujuan perhimpunan ini dan mengapa ia diadakan tetapi persiapan sudah dilakukan," katanya pada sidang media di Bukit pada Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain