suria

Aidiladha Disambut Sederhana Seluruh Negara

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersalaman dengan orang ramai ketika tiba untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar pada Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara pada Khamis menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan, menghayati pengorbanan yang dituntut ajaran Islam.

Cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilakukan di beberapa tempat seperti di masjid, surau, kampung dan taman perumahan.

Jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Namun Masjid Negara masih dipenuhi kira-kira 10,000 umat Islam termasuk warga asing memenuhi ruang untuk menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk 'Berkorban Apa Saja' menyeru umat Islam supaya sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda, pengorbanan kepentingan peribadi, malah jiwa demi menegakkan syiar Islam dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Kakitangan Rumah Pengasih melapah daging pada Majlis Korban sempena Aidiladha di Rumah Pengasih. -fotoBERNAMA

"Tahap keimanan dan pengabdian kita kepada Allah SWT dapat diukur dengan sejauh mana kesediaan kita untuk berkorban demi mentaati perintah-Nya," katanya.

Beliau juga turut menyeru umat Islam seluruh negara agar segera menyempurnakan ibadah haji apabila berkemampuan dan janganlah bertangguh.

Syaikh Ismail kemudian mengakhiri khutbah dengan mendoakan mangsa jemaah haji dan keluarga mangsa yang terlibat dalam musibah tragedi runtuhan kren di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas agar tabah dan reda dengan musibah tersebut.

"Seluruh rakyat Malaysia turut berdukacita dan bersimpati dengan tragedi tersebut," katanya.

Di ALOR SETAR, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir.

Baginda tiba di Masjid Zahir, 8.40 pagi dan disambut oleh pegawai tinggi kerajaan negeri, sebelum menunaikan solat itu yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Roslan Abdul Halim.

Turut menunaikan solat adalah Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Mohd Puat Ali.

Di KOTA BAHARU, Tengku Temenggung Kelantan Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz bersama kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi.

Sukarelawan Masjid Negeri membawa daging lembu ke tempat pengagihan selepas majlis korban di Masjid Negeri sempena Aidiladha hari ini. -fotoBERNAMA

Mufti Negeri Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika menyampaikan khutbah mengajak umat Islam mengambil pengajaran daripada ibadah korban untuk memperkukuhkan perpaduan.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menunaikan solat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 umat Islam di Masjid Kampung Seberang Takir.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir bersama masyarakat setempat Kampung Seberang Takir kemudiannya bergotong-royong menyembelih lembu untuk ibadah korban.

Di IPOH, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi.

Turut sama ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Baginda dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim kemudian berangkat ke Majlis Sambutan Aidiladha di Istana Cempaka Sari.

Di JOHOR BAHARU, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 1,000 umat Islam di Masjid Pasir Pelangi.

Baginda diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim; Penasihat Majlis Agama Islam (MAIJ), Datuk Noh Gadut dan barisan exco.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh hari ini. -fotoBERNAMA

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 umat Islam di Masjid Negeri.

Solat sunat itu diimamkan Ustaz Saidin Albab, sementara Imam Besar Negeri Ibrahim Qisab menyampaikan khutbah bertajuk 'Pengorbanan Mengukuhkan Perpaduan'.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob bersama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah bersama kira-kira 10,000 jemaah.

Mohd Khalil dan Idris kemudian menghadiri majlis korban kelompok di Masjid Al-Faizin, Paya Mengkuang, Bukit Rambai dan turut membantu mengagihkan daging korban kepada orang ramai.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Majlis korban turut diadakan di perkarangan masjid yang melibatkan 11 ekor lembu dan empat ekor kambing sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang, jemaah masjid negeri dan penduduk sekitar.

Di PERLIS, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Terapung Al-Hussain.

Keberangkatan baginda disambut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin merangkap pengerusi jawatankuasa masjid, imam Ustaz Muhammad Najdi Mohd Noor dan pegawai masjid.

Aidiladha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain