PETALING JAYA: Jemaah Malaysia tidak sepatutnya terlibat dalam tragedi rempuhan di Mina kerana masa dan lokasi kejadian bukan seperti panduan yang ditetapkan Tabung Haji (TH). Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bagaimapaun petugas TH di Makkah tetap akan memastikan bilangan jemaah Malaysia yang kini sedang berada di khemah-khemah yang menempatkan jemaah Malaysia di sana untuk membuat pengiraan. Katanya, walaupun kejadian itu sah berlaku, setakat ini masih tidak dapat dipastikan jemaah negara mana yang terlibat, serta jumlah sebenar yang cedera atau terkorban. "Sepatutnya, berdasarkan jadual yang ditetapkan Tabung Haji jemaah kita tak berada di situ. Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi waktu Arab Saudi dan ikut jadual, jemaah kita melontar selepas Asar. "Bagaimanapun kita sedang pastikan jumlah jemaah Malaysia dengan melakukan pengiraan jemaah dari khemah ke khemah," katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Khamis. Menurut Jamil Khir lagi, maklumat awal yang diterima juga menyatakan bahawa kawasan tragedi adalah di luar kawasan melontar yang biasanya digunakan jemaah Malaysia. "Jemaah datang dari pelbagai penjuru untuk melontar, tetapi kawasan kejadian jauh dan di luar kawasan penginapan jemaah kita," katanya. Tambah beliau lagi, pada masa ini pengiraan dari khemah ke khemah sedang dijalankan tetapi tidak dapat menganggarkan bila proses itu selesai dan pengesahan dapat dibuat. "Pada masa ini jemaah berada di kehamah masing-masing, tetapi ada yang ambil kesempatan untuk keluar dan bertemu rakan jemaah di khemah lain. "Ada juga yang keluar ke khemah jemaah antarabangsa, jadi kita tak dapat beri anggaran masa bila pengiraan akan selesai," katanya. Katanya, pihak TH akan memberikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai keadaan jemaah Malaysia dan situasi di sana dari masa ke semasa.