suria

Mayat Kevin Morais Belum Boleh Dituntut - Polis

Mendiang Anthony Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Mayat Anthony Kevin Morais masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana masih belum boleh dituntut anggota keluarganya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, ini kerana pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk mengesahkan DNA bekas Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara itu.

"Kita nak sahkan DNA yang perlu ambil sedikit masa yang dibuat oleh jabatan forensik dan kimia.

"Walaupun begitu, dari segi pengecaman dan pakaian, kita sudah pasti itu adalah Kevin, cuma kita perlu ikut prosedurnya," katanya kepada pemberita pada majlis solat Aidiladha dan korban di Masjid Bukit Aman pada Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai mayat Morais yang dilapor masih berada di HKL.

Mayat Morais, 55, ditemui dalam tong dram berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya dekat sini Rabu lepas.

Beliau kali terakhir dilihat pada 4 September lalu semasa meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu keretanya.

Anthony Kevin Morais

Artikel Lain