GEORGE TOWN: Seorang warga emas maut akibat dipukul individu yang menumpang rumahnya di Hong Seng Estate, Jalan Mount Erskine di sini. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya dimaklumkan oleh Hospital Pulau Pinang bahawa mangsa Leong Yeng Wah, 77, mati di hospital itu kira-kira pukul 7.30 Khamis malam ekoran kejadian pukul tersebut pada Isnin lalu. Beliau berkata suspek menumpang di rumah mangsa sejak beberapa minggu lalu. "Mangsa mengaku dipukul dan ditendang oleh lelaki tersebut setelah mangsa mengadu barangnya hilang," katanya. Faridalatrash berkata, pihak hospital mengesahkan mangsa turut mengalami retak tulang rusuk. Seorang lelaki yang berusia 25 tahun yang dikatakan menumpang rumah mangsa telah ditahan, katanya.-- Bernama