KAJANG: Kehalusan seni seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam menghasilkan kaligrafi menarik perhatian pengunjung Pameran Kaligrafi Peringkat Kebangsaan di Kolej New Era, Kajang, Sabtu. Koh Wen Yu merupakan merupakan peserta termuda yang menyertai pameran yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Kaligrafi Malaysia (PTSM) itu. Seperti sudah berpengalaman dalam hasilkan seni itu, pengunjung dapat saksikan gelagat Wen Yu hasilkan kaligrafi secara langsung. Tidak keseorangan, dia turut ditemani abang-abangnya Koh Kent Kiang, 16 dan Koh Kent Ming, 13 yang turut menyertai pameran itu. "Saya mula belajar seni tulis ini ketika berusia 7 tahun dan minat dalam seni kaligrafi ini semakin mendalam," kata Wen Yu. Murid tahun empat itu memberitahu, dia telah sertai banyak pertandingan dalam seni tulis kaligrafi dan turut memenangi beberapa pingat di peringkat kebangsaan. "Saya pilih untuk tulis mengenai ibu. Kita harus sentiasa hargai ibu kerana banyak pengorbanan yang telah dilakukan olehnya semasa membesarkan kita," tambahnya lagi. Pameran Kaligrafi kali ini berlangsung selama lima hari bermula 26 September sehingga 30 September pada pukul 10 pagi hingga 7 malam.