PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dan sangat tidak sihat ditutup pada Isnin. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu pada Ahad, sekolah-sekolah yang terlibat ialah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan selain dua bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman dan Samarahan. "Pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah bagi negeri dan bahagian tersebut hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing akan penutupan ini dengan kadar segera," katanya. Keadaan jerebu semakin membimbangkan setakat 10 pagi ini dengan empat kawasan merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat. Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shah Alam mencatatkan IPU tertinggi 279, diikuti Pelabuhan Klang (255), Batu Muda, Kuala Lumpur (250) dan Petaling Jaya (226). Sebanyak 14 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan Putrajaya berada pada 197, Banting (187), Sri Aman (185), Cheras, Kuala Lumpur (177), Kuala Selangor (171).