suria

Jerebu: 11 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat

PETALING JAYA:  Sebanyak 11 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat pukul 9 pagi Isnin.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bandaraya Melaka merekodkan bacaan tertinggi iaitu 134 diikuti Samarahan dengan 129 (Sarawak), Bukit Rambai di Melaka (125) dan Port Dickson di Negeri Sembilan (123).

Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antaranya, Kuching di Sarawak (117); Seremban (114); Muar, Johor (107); Banting, Selangor (105); Putrajaya (104); Pasir Gudang, Johor (101) dan Nilai, Negeri Sembilan (101).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Walaupun Petaling Jaya merekodkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100 pada pukul 6 pagi Isnin, keadaan jerebu bertambah pulih di negeri itu.

Bacaan IPU di Petaling Jaya direkodkan pada 92 setakat pukul 9 pagi Isnin berbanding 97 kira-kira pukul 8 pagi tadi.






jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain