PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan polis berpangkat supritendan yang didapati bersalah melakukan aktiviti pengubahan wang haram, terpaksa melalui tempoh yang lama di dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan meningkatkan kepada lapan tahun dan mengekalkan denda, RM1.75 juta atau enam bulan penjara. Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Balia Yusof Wahi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Azmi Osman, 60, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas empat pertuduhan. Pada 2011, Mahkamah Sesyen memutuskan Azmi bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan dia didenda RM7.5 juta bagi kesalahan yang dilakukan antara 2002 dan 2005. Hakim memerintahkan Azmi menjalani hukuman itu secara serentak. Keputusan pada Selasa, Balia, mengekalkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan tetapi mengarahkan Azmi menjalani hukuman itu secara berasingan, bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun. Azmi yang dibenar diikat jamin sementara menunggu rayuannya, menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini. Hakim dalam keputusannya berkata tempoh penjara yang diputuskan Mahkamah Sesyen adalah jelas tidak memadai, asasnya cacat dan melanggar dasar hukuman, mengambil kira kesalahan aktiviti pengubahan wang haram adalah kesalahan serius. Balia berkata ia membabitkan wang tunai RM3.8 juta dan nilai aset Azmi yang disita RM6 juta yang kesemuanya berjumlah RM9 juta. Beliau bagaimanapun mengekalkan denda RM1.75 juta dan jika gagal membayar denda dikenakan penjara enam bulan. Balia berkata Azmi melakukan kesalahan itu dari 2002 hingga 2005 dan ia tidak boleh dianggap sebagai transaksi yang sama untuk membenarkan hukuman penjara itu berjalan serentak. Sementara itu, panel yang sama, dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusof dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan Azmi berhubung perintah Mahkamah Tinggi mengenai notis pihak ketiga dan pelucutan harta di bawah Seksyen 55 dan 61 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). Seksyen itu menyatakan mahkamah yang mengeluarkan perintah pelucutan itu hendaklah menyiarkan suatu notis yang digazetkan memanggil mana-mana pihak ketiga yang menuntut, yang mempunyai apa-apa kepentingan mengenai harta itu supaya hadir di mahkamah pada tarikh dinyatakan dalam notis itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak dilucutkan. Azmi yang digantung tugas, didakwa melakukan empat kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.8 juta ketika berkhidmat sebagai Pegawai Turus di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor.