suria

Murtad: Dewan Diraja Selangor Kesal Kenyataan Rahim

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik
KLANG: Majlis Dewan Diraja Selangor menafikan kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berhubung dakwaan keterlaluannya bahawa Raja Muda Selangor telah murtad.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Setiausaha majlis, Hanafisah Jais, berkata Abdul Rahim sepatutnya menyemak kesahihan maklumat itu sebelum berkongsi dan memberi komen.


"Majlis kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mengulas mengenai dakwaan penukaran agama terhadap Tengku Amir Shah.

"Kami benar-benar kesal apabila beliau tidak menyemak kesahihan maklumat diterima sedangkan perkara itu mudah dilakukan sekiranya beliau bertanggungjawab," katanya.

Katanya, kenyataan Abdul Rahim, adalah nyata berbaur hasutan dengan unsur fitnah yang boleh membangkitkan kebencian dan kemarahan umat Islam.

“Perbuatan ini dirasakan sengaja dilakukan beliau dengan niat jahat bagi mencemar dan mempersoalkan akidah Raja Muda Selangor sebagai seorang Islam dan secara langsung menyatakan baginda murtad.

“Akibatnya, banyak respon dan komen orang ramai terutama umat Islam menunjukkan kemarahan, kebencian dan cacian terhadap Raja Muda dan Sultan Selangor,” katanya.

Kenyataan itu menyebut bahawa Raja Muda Selangor kini sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera Di Raja Sandhurst, United Kingdom.

“Sekembalinya baginda ke negara ini, baginda akan ditauliahlan di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.


Pada Isnin, Hanafisah dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani membuat dua laporan polis berhubung laman Facebook oleh seorang pengguna bernama 'Rahim Tambychik'.

Artikel Lain