KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima 450 permohonan bagi Skim Perumahan Belia (YHS) yang ditawarkan kepada pasangan belia berkahwin untuk memiliki rumah pertama sejak ia diperkenalkan pada Julai lalu. Pengerusinya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 225 permohonan telah diluluskan dengan pembiayaan RM57.5 juta. Beliau berkata, skim perumahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2015 bertujuan membantu pasangan suami isteri berusia antara 25 dan 40 tahun serta pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM10,000. "Kita menyedari golongan muda dihimpit dengan pelbagai masalah bagi mengatur kehidupan mereka dan antaranya adalah kesukaran untuk memiliki rumah sendiri berbanding suatu ketika dahulu. "Harga rumah pada masa kini begitu tinggi dan kebanyakannya jauh mengatasi jumlah pendapatan anak-anak muda. Oleh itu, Skim Perumahan Belia menyediakan peluang dan kebolehupayaan dalam pemilikan rumah sendiri kepada generasi muda bagi mengemudi perjalanan hidup mereka dengan lebih baik," katanya pada majlis pelancaran YHS di sini, Khamis. Majlis disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd, Chung Chee Leong dan Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Rosminah Osman. Abu Bakar berkata, pihaknya memperuntukan sebanyak 20,000 tawaran pinjaman terbuka kepada pemohon yang berkelayakan. "Justeru itu, saya mengalu-alukan pasangan belia yang sudah berkahwin untuk mengambil peluang ini sebaik mungkin dengan mengemukakan permohonan. "Skim ini adalah terhad dan kelulusannya menggunakan konsep 'siapa cepat dia dapat'. Pada masa sama, BSN juga akan menyediakan pakar kewangan bagi membantu pemohon dan bakal pembeli rumah kelak," katanya. YHS yang dilancarkan BSN merupakan perkongsian pintar bersama Cagamas Bhd dan KWSP dengan menyediakan pinjaman perumahan antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan tempoh sehingga 35 tahun atau usia 65. Sementara itu, Adinan pada sidang media pula berkata, kerajaan turut menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh dua tahun pertama bagi membantu pasangan yang terlibat dalam skim tersebut. Katanya, antara faedah lain dalam YHS ialah pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas perjanjian jual beli. "Setakat ini, sebanyak 886 panel pemaju perumahan yang terlibat dalam Skim Perumahan Belia," katanya sambil menambah bahawa sebarang penambahan tawaran bergantung kepada keputusan kerajaan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai YHS, boleh layari laman web di www.mybsn.com.my atau hubungi talian hotline khidmat pelanggan BSN di 1300-88-1900.