PETALING JAYA: Remaja ini kehilangan bapanya akibat kompikasi kesihatan ketika dia berusia 12 tahun. Malah, dia terpaksa menangguhkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejurus selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana perlu bekerja untuk membiayai pengajian adiknya di kolej. Kini, terima kasih kepada Dana Pendidikan Star, Bala Murugan Monogaran, 22, akan melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Komunikasi Massa di Kolej Universiti KDU. Remaja berasal dari Nilai itu mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Media Star dan Kolej Universiti KDU kerana memberi peluang kepada dirinya untuk mengejar cita-citanya dalam bidang kewartawanan selepas hasrat itu tertangguh selama lima tahun. Seorang lagi penerima dana itu, Ng Kah Yong, terpaksa mengimbangi antara kerjaya dan pelajaran sepanjang hidupnya. "Ia adalah satu-satunya cara untuk saya mendapatkan pendidikan di universiti," kata lelaki berusia 25 tahun itu. Ng akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Taylor dan pada masa sama bekerja sebagai seorang perunding IT. "Belajar dan bekerja dalam bidang IT mendedahkan saya kepada beberapa pandangan teknikal, tetapi MBA akan membolehkan saya memperolehi pengetahuan dan kemahiran dalam perniagaan. "Selain mempelajari tentang kewangan, pemasaran dan pengurusan, MBA akan memberi peluang kepada saya untuk menerokai bidang korporat," kata anak sulung daripada empat beradik itu. Ng tidak kekok mengendalikan pelbagai tanggungjawab pada satu-satu masa. Bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori diserang penyakit strok semasa dia melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Ng membuat keputusan untuk bekerja secara sambilan bagi menampung pendidikannya. Sebaik sahaja menamatkan pengajian peringkat Diploma, dia bekerja sebagai pengaturcara R & D dan pada masa sama belajar secara sambilan di peringkat Ijazah Sains Komputer. Ng berkata beliau terpaksa membuat beberapa pengorbanan sepanjang pengajiannya seperti menolak jemputan daripada rakan-rakan untuk keluar atau menonton wayang kerana mahu berjaya dalam pelajarannya. Sementara itu, Pengarah Urusan Star Media Group dan Ketua Pengawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Wong Chun Wai turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada universiti, kolej dan institusi pengajian tinggi yang menjalin kerjasama dengan Dana Pendidikan Star. "Komitmen tidak berbelah bahagi anda merealisasikan impian anak muda Malaysia berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi," katanya pada majlis penyampaian biasiswa itu. Beliau berkata pada tahun ini Dana Pendidikan Star dan rakan kerjasamannya menganugerahkan dana berjumlah RM8 juta kepada 160 penerima biasiswa tersebut.