suria

Sekolah Satu Aliran: Kaji Selidik Cetus Kebimbangan Masyarakat Cina

DENGKIL: Kaji selidik terhadap sekolah satu aliran menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat Cina, kata Chong Sin Woon.

Timbalan Menteri Pendidikan itu memberitahu pemberita bahawa beliau menerima pelbagai mesej menerusi aplikasi WhatsApp, mempertikaikan sekiranya kerajaan merancang untuk menghapuskan sistem sekolah vernakular.

"Isu ini amat sensitif. Kita tidak boleh ada soal selidik bertanya jika kita harus menutup sekolah jenis Cina," katanya semasa melawat ke SJK (C) Dengkil.

Chong menasihatkan masyarakat Cina supaya tidak bimbang kerana Kabinet telah memutuskan bahawa sistem sekolah vernakular akan terus kekal.

"Sekolah vernakular Cina telah wujud sejak Merdeka. Ia bukan satu isu remeh temeh yang boleh dipersoalkan," katanya.

Chong yang juga Ketua Pemuda MCA, turut mengambil peluang untuk mengkritik peserta perhimpunan Baju Merah yang menuntut agar sekolah Cina ditutup.

"Pertama, mereka kata mengadakan perhimpunan untuk menentang Bersih. Mereka kemudiannya menjadikan peniaga Petaling Street sebagai sasaran," katanya.

Beliau bekata, misi utama penganjur untuk perhimpunan tersebut jelas berubah.

Satu kaji selidik muncul secara dalam talian pada 29 September lalu yang meminta reaksi balas pengguna Internet mengenai sama ada sistem pendidikan satu aliran perlu diwujudkan.

Dokumen tersebut yang disiarkan menerusi Borang Google, mengandungi logo Jabatan Penerangan yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak bagaimanapun menafikan mengetahui mengenai kewujudan kaji selidik itu.

Kaji selidik itu bagaimanapun ditarik balik selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sr Wee Ka Siong menghubungi Salleh.





SJKC, MCA

Artikel Lain