suria

"Ayah Solat", Kata Isteri Allahyarham Shahidan Kepada Anak Tunggal

Isteri Allahyarham Shahidan Saad, Maziatunazna Bidin @Ibrahim (kiri) bersama anak tunggalnya Muhammad Afiq Amzar, 3, ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Jumaat.

ALOR SETAR: "Ayah pergi solat," kata isteri Allahyarham Shahidan Saad kepada anak tunggalnya, selepas Muhammad Afiq Amzar, 3, tidak melihat kelibat bapanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, Jumaat.

Isteri Shahidan, Maziatunazna Bidin @Ibrahim, 44, dan abang iparnya, Sobri, 56, antara 279 jemaah haji Kedah dan Perlis yang tiba di LTSAH pada 8.20 pagi ini menerusi pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB), KT7 dari Jeddah.

"Saya amat gembira dapat melihat anak saya dan apabila jumpa (dengan anak) dia terus bertanya dan mencari ayahnya. Saya cakap ayah pergi solat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, mereka akan menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada anak tunggalnya itu tentang insiden kren tumbang di Masjidil Haram 11 September lepas, yang meragut nyawa bapanya.

Katanya, setakat ini dia tidak mempunyai apa-apa perancangan dan akan terus tinggal di rumah mereka bagi membesarkan anaknya, dan bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji sehingga selesai dan reda dengan ketentuan Allah.

Maziatunazna berkata selepas mengetahui suaminya dilaporkan hilang, dia sentiasa berdoa agar suaminya dijumpai semula serta menunggu maklumat terkini daripada petugas Tabung Haji (TH).

"Selepas kejadian itu memang kami tidak dibenarkan keluar untuk menunaikan solat di Masjidil Haram. TH juga telah menguruskan badal haji Allahyarham," katanya.

Katanya sebelum kejadian itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersembang seperti biasa serta tidak meninggalkan apa-apa pesanan.

Sementara itu abang Allahyarham Shahidan, Sobri, berterima kasih kepada pihak pengurusan TH yang membantu menguruskan jenazah adiknya dengan sempurna.

Pesara guru itu berkata dia bersama seorang lagi adiknya Zulhakimi, 37, berpeluang melihat proses pengebumian Allahyaham Shahidan di Tanah Perkuburan Maqbarah As-Shohada.

Sobri berkata, ahli keluarganya akan membantu isteri Allahyarham mengurus dan membesarkan Muhammad Afiq hingga dewasa sebagai tanggungjawab mereka sekeluarga.

Dalam kejadian 5 petang pada 11 Sept lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat asar.

Tujuh jemaah haji Malaysia termasuk allahyarham Shahidan terkorban. -- Bernama


Shahidan Saad, LTSAH, kren, haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain