CAMERON HIGHLANDS: Mossy Forest atau Hutan Berlumut di Gunung Brinchang yang terkenal dengan flora eksotik dan lumut yang tumbuh subur bak permaidani ditutup untuk jangka masa panjang kerana sampah-sarap. Tiada aktiviti dibenarkan di sekitar pelantar laluan dan di dalam hutan itu, termasuklah mendaki Gunung Irau semasa tempoh penutupan, dijangka sehingga pertengahan 2016. Penutupan itu yang berkuatkuasa pada Khamis, telah diumumkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di laman Facebook. Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman menyifatkan keperluan untuk membersihkan sampah di dalam hutan itu sebagai sesuatu yang 'mendesak'. Beliau berkata lebih banyak tong sampah akan diletakkan untuk membantu mengurangkan sampah, terutamanya di kawasan pelantar laluan. "Papan tanda menggesa orang ramai untuk memelihara Hutan Mossy akan ditambah. Kerja-kerja penyelenggaraan akan dijalankan semasa penutupan. "Penutupan ini juga akan membolehkan pertumbuhan semula dan pemulihan lumut, yang merupakan keistimewaan kawasan ini," kata beliau sambil menambah jabatan itu akan melakukan rondaan semasa musim cuti dan hujung minggu. Mohd Paiz berkata dialog dengan pengusaha pelancongan dan NGO akan diadakan tidak lama lagi untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cara-cara untuk memulihara hutan tersebut. Langkah untuk menutup hutan itu bagaimanapun tidak diterima baik beberapa pemandu pelancong. Salah seorang daripadanya, yang hanya mahu dikenali sebagai Bob, 37, menyalahkan pelancong tempatan. "Perlu ada penguatkuasaan untuk menghalang orang ramai daripada merosakkan kawasan ini. Pesalah harus dikenakan denda,"katanya. "Apa yang kita akan promosikan jika hutan ini ditutup?" Rakan pemandu pelancongnya, K. Subramaniam, 65, berkata, rakyat Malaysia telah memetik dan memusnahkan tumbuh-tumbuhan di sini. "Mereka tidak mendengar nasihat kami, berbeza dengan pelancong Eropah dan Timur Tengah," katanya. "Kadang-kadang, orang asing juga membantu membersihkan tong sampah." Seorang lagi pemandu pelancong S. Thiru, 48, mahu melihat hutan itu 'berkembang' semula secara semulajadi. "Ramai yang menyamakannya dengan adegan dalam hutan dalam filem hebat The Lord of the Rings dan Avatar. Filem tempatan Puteri Gunung Ledang juga difilemkan di sini," katanya.