KUALA LUMPUR: Jerebu yang masih melanda ibu kota bukan halangan bagi pencinta terjunan BASE sempena 'Kuala Lumpur Tower International Jump 2015 (KLTIJM 2015) melakukan aksi dari puncak Menara Kuala Lumpur. Seorang pengajar terjun udara Haziq Azlan, 27, yang mempunyai pengalaman 200 kali terjunan BASE berkata keadaan jerebu tidak mengganggunya kerana pengalaman seperti itu lebih bermakna untuknya. "Jerebu atau tidak, ia tiada sebarang perbezaan kepada saya. Panorama Kuala Lumpur tetap hebat!," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat. Haziq adalah antara 120 penerjun terlatih yang menyahut cabaran terjun dari kren yang diletakkan di menara itu pada ketinggian 312 meter mulai hari ini hingga Ahad. Sementara itu, seorang penerjun dari Sydney, Australia, Tahi-Paul Munroe, 29, berkata walaupun langit tidak begitu cerah untuknya mengambil gambar, ia bukan satu isu untuknya. "Walaupun saya tidak dapat merakam detik terjunan secara jelas, saya masih seronok di sini," katanya. Munroe yang mempunyai pengalaman 208 terjunan BASE menjelaskan aksi terjun itu sebagai detik hebat dan mahu kembali menyertainya lagi di masa hadapan. Perasaan sama turut dikongsi pengajar terjun udara tandem dari Amerika Syarikat, Cynthia Currie, 32, yang memiliki pengalaman 10,000 terjun udara dan 330 terjunan BASE. "Walaupun jerebu sedikit mengaburkan pandangan saya, ia bukan masalah besar kerana pemandangan bandar raya ini masih menarik. Saya sukakannya!," katanya. KLTIJM yang memasuki edisi ke-15, menampilkan aksi hebat penuh debaran daripada pakar penerjunan dari seluruh dunia termasuk Perancis, Denmark, Finland dan Jepun. Pada ketinggian 421m, Menara Kuala Lumpur adalah bangunan telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara. Acara terjun BASE kali pertama diadakan sempena ulang tahun Menara Kuala Lumpur pada 3 Oktober 1999. Sejak itu, ia menjadi acara tahunan di menara itu dan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara terjun BASE pertama di Malaysia.-- Bernama