Blogger berkenaan, Shahbudin Husin berkata beliau memadam posting itu selepas menerima e-mel daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya artikel yang disiarkan pada 20 September itu menyebabkan beliau diminta memberi keterangan atau penjelasan kepada SKMM berikutan adanya aduan yang diterima agensi terbabit berkaitan tulisannya.
"Malam tadi pada jam 10.29 malam, saya telah menerima email daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM berkaitan siasatan mereka terhadap tulisan di blog ini yang bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?.
"Sebagai warganegara Malaysia yang baik hati, saya dengan ini telah pun memadam atau mengeluarkan artikel bertarikh 20 September 2015 itu daripada blog saya iaitu shahbudindotcom dengan serta merta sebagai menghormati saranan SKMM itu.
"Saya menerima seadanya saranan tersebut dan terima kasih kepada pembaca dan penjenguk blog ini yang banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya," tulisnya dalam entri terbaru di blognya, Sabtu.
Katanya, surat SKMM itu termasuklah tindak balas Zahid terhadap artikel tersebut.
Pada 1 Oktober Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak membelanjakan apa-apa wang atau mengeluarkan dana awam bagi resepsi perkahwinan anak lelakinya di Indonesia.Beliau juga berkata bahawa majlis resepsi yang dimaksudkan dianjurkan oleh besan beliau, sebaik mengetahui beliau akan melakukan lawatan rasmi ke negara Indonesia dari 18 hingga 21 September 2015.