suria

Larian Maraton Standard Chartered KL Dibatal Akibat Jerebu

Bangunan Istana Budaya hampir tidak kelihatan dari Taman Tasik Titiwangsa akibat jerebu dengan jarak ketampakan amat terbatas pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Larian Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pada Ahad, telah dibatalkan berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Menurut kenyataan media disiarkan di laman Facebook Larian Maraton Standard Chartered KL, www.facebook.com/SCKLmarathon pada Sabtu, menyatakan pembatalan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada pasukan perubatan, Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) dan Institut Sukan Negara (ISN). 

"Kesihatan dan keselamatan kesemua peserta tetap menjadi keutamaan kami. Sejak pengumuman terakhir oleh kami, malang sekali keadaan jerebu telah mencapai tahap tidak sihat mengikut amaran pemantauan terkini," kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan turut disokong oleh penganjur bersama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta penaja utama, Standard Chartered Bank Malaysia.

"Kami menghargai sokongan ditunjukkan oleh peserta larian ini sepanjang keadaan cuaca yang mencabar ini," kata kenyataan itu. 

Penganjur turut menasihatkan peserta yang sudah mendaftar supaya berada di Dataran Merdeka dengan bib perlumbaan masing-masing untuk mengambil barangan perlumbaan mereka, mulai 6 pagi hingga 12 tengah hari, pada Ahad. 

"Bagi mereka yang tidak sempat mengambil barangan pada masa ditetapkan itu,  urusan alternatif pengambilan barangan ini akan diumumkan dalam saluran media sosial Larian Maraton Standard Chartered KL," kata kenyataan itu.

Berikutan pembatalan larian itu, penutupan jalan dan infrastruktur sokongan masih kekal di laluan yang ditetapkan termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen, Jalan Cenderawasih, Jalan Lembah dan Jalan Sultan Hishamuddin pada Ahad mulai 6 hingga 9 pagi, kata kenyataan itu.

jerebu

Artikel Berikut

Artikel Lain