KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan penahanan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Dakwa bekas perdana menteri itu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahgunakan undang-undang berkenaan bagi memberi tekanan kepada mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinannya. "Mereka mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan gubal Sosma untuk tangani masalah pengganas. Tapi dia (kerajaan) tak buat tafsiran pengganas. Dia tak buat definisi berkenaan dengan sabotaj. "Rupa-rupanya kalau bercakap mengenai sesuatu yang tak suka didengar...itu pengganas. "Meraka sudah tangkap pengganas bernama Khairuddin," katanya di sini, Sabtu. Beliau berucap ketika menghadiir Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan. Khairuddin ditahan selama 28 hari pada 23 September lalu mengikut Sosma beberapa minit selepas dibebaskan daripada tahanan reman. Bagaimanapun Khairuddin yang lantang mempersoalkan mengenai dakwaan pengelewengan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan habeas corpus untuk mencabar penahanannya di bawah Seksyen 4 (5), Sosma. Tambah Dr Mahathir, penahanan Khairuddin membuktikan bahawa kerajaan yang berkuasa pada hari ini tidak boleh ditegur dan dikritik. Dalam ucapannya Dr Mahathir turut mencuri tumpuan apabila mengumpamakan situasi politik di Malaysia dengan nasib 'nelayan' dan 'ikan'. "Kita memang berada dalam zaman yang menakutkan. Inilah negara kita sekarang, tak boleh buka mulut. Sebab itu sekarang ini orang yang memancing ikan sudah dihapuskan di Malaysia. "Semua orang yang memancing ikan pergi ke Thailand. Kenapa? Kerana di Thailand ikan masih berani buka mulut. Sekarang ini kita tak boleh bercakap," katanya sambil disambut tepukan gemuruh gelak ketawa hadirin.