PETALING JAYA: Semua penganjuran majlis atau aktiviti hendaklah mengelakkan aktiviti di luar bangunan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. "Jika sambutan yang melibatkan aktiviti luar ini telah dirancang sebelum kejadian jerebu berlaku, maka Kementerian Kesihatan menasihatkan agar ia ditangguhkan atau dibatalkan sehingga bacaan IPU adalah baik. "Jika masih perlu diadakan, adalah dinasihatkan agar majlis atau aktiviti tersebut diadakan di dalam bangunan. Kementerian Kesihatan amat menghargai tindakan pihak penganjur The Standard Chartered KL Marathon kerana telah menunda acara mereka ke satu tarikh lain demi menjaga kesihatan orang ramai yang mengikuti acara tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan pemantauan penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran atas pernafasan, asma dan sakit mata di 45 klinik-klinik kerajaan terpilih seluruh negara. "Pemantauan yang dijalankan sejak enam minggu lalu mendapati kedatangan pesakit dengan penyakit tersebut secara umumnya tidak menunjukkan tren peningkatan yang ketara walaupun terdapat trend peningkatan kehadiran di beberapa klinik sentinel," katanya. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu termasuklah mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai. "Selain daripada itu, sila pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. "Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman. Banyakkan minum air kosong, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar," katanya. Menurut Dr Noor Hisham, mereka yang boleh memasang alat pendingin hawa dan penapis udara di rumah dinasihatkan menggunakan penapis udara yang berkecekapan lebih tinggi adalah lebih baik kerana ia boleh menghalang kebanyakan partikel halus berkaitan dengan asap dan seterusnya boleh mengurangkan jumlah pencemaran udara di dalam rumah. "Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jika keadaan bertambah teruk," katanya.