KOTA KINABALU: Bagi doktor haiwan, Dr Diana Raminez, melihat seekor buaya menelan seekor ular sawa di Sungai Kinabatangan adalah satu berita baik dan menyedihkan. Adalah sesuatu yang menyayat hati apabila melihat ular sawa berukuran lima meter panjang itu mati, tetapi ia juga merupakan tanda bahawa ekosistem Sungai Kinabatangan berfungsi dengan baik, kata Dr Raminez, penolong pengurus unit penyelamat hidupan liar. "Ia adalah satu adegan hidupan liar sebenar yang masih berlaku di Sungai Kinabatangan," katanya. Beliau menambah, mereka telah merakamkan gambar pada jam 2 petang hari Sabtu ketika melakukan rondaan hidupan liar di sepanjang Sungai Kinabatangan. "Saya dan pasukan saya sangat terkejut kerana ini bukan satu keadaan biasa yang dapat dilihat setiap hari. "Kami melihatnya ketika buaya itu sudah pun menangkap ular sawa itu. "Kira-kira 40 minit kemudian, buaya itu masih tidak melepaskannya. "Kami tidak menunggu lebih lama kerana buaya (kira-kira 4 meter panjang) sedang menunjukkan tekanan dengan cuba menyembunyikan mangsanya," katanya. Katanya, beliau telah mengambil beberapa keping gambar dan meninggalkan tempat itu. Berdasarkan pengalamannya, Dr Raminez percaya ular sawa itu sudah mati ketika buaya itu menangkapnya. "Ini adalah berdasarkan keputusan bedah siasat yang lalu. "Kulit pada bangkai ular sawa itu pecah, yang menunjukkan bahawa ia mungkin mati kira-kira 24 jam sebelum kejadian," katanya.