PETALING JAYA: Perlawanan bola sepak sosial antara dua pasukan berakhir dengan pergaduhan, dengan dua orang, termasuk seorang wartawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia cedera. Dalam kejadian pukul 4.30 petang Sabtu, dua pasukan itu - Cardiff City Malaysian Supporters Club (CCMSC) dan Gajah Perang (GP) sedang bermain dalam 10 minit terakhir perlawanan apabila pemain CCMSC cedera di New Camp, Bandar Utama. Tidak puas hati, pemain pasukan lawan mengadu kepada pengadil dan mendakwa CCMSC dengan sengaja telah membuang masa. CCMSC mendahului dengan tiga gol berbanding GP yang memperoleh dua gol dalam perlawanan Piala Prestige 2015. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din pada Isnin berkata pertengkaran antara pemain pasukan lawan dan pengadil membawa kepada pergelutan apabila seorang pemain GP didakwa menampar seorang pegawai perubatan CCMSC. "Mangsa yang berusia 24 tahun, Mohamad Faris Mohamad Fuad, yang melihat kejadian itu dari jauh segera bergegas ke padang untuk membantu meredakan suasana. "Sebaliknya, dia dipijak, ditendang dan ditumbuk di muka dan badan dari belakang oleh sekumpulan empat atau lima orang, menyebabkan dia mengalami kecederaan serius yang memerlukan rawatan perubatan segera. "Dia telah diserang dari belakang," katanya. Mohamad Faris dikejarkan ke Pusat Perubatan Sime Darby. Dia mengalami lebam dan luka di muka dan badan. Salah seorang rakan sepasukan yang cuba untuk membantu, Muhammad Fitri Jamaluddin, 26, turut cedera dalam pergaduhan itu. "Kita telah memanggil pihak penganjur dan akan mengenakan tindakan terhadap kedua-dua pihak sebagai penyelesaian kes ini," kata Mohd Zani. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi pada Ahad, pengurus pasukan CCMSC Danni Rais melahirkan rasa kecewa terhadap kurangnya profesionalisme yang ditunjukkan oleh GP. "Kami amat kecewa kerana GP adalah pasukan bola sepak rasmi yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Kami terperanjat dengan apa yang berlaku, yang sepatutnya menjadi satu perlawanan bola sepak sosial yang menyeronokkan. "Dalam usaha untuk melindungi nama baik pemain kami dan Cardiff City, CCMSC telah membuat keputusan yang sukar untuk membuat laporan polis bagi memastikan tidak timbul isu seperti ini lagi," kata Danni, sambil menambah beliau berharap pihak penganjur akan mengambil tindakan yang perlu terhadap GP. Di laman Facebook rasmi penganjur Piala Prestige, pihaknya memohon maaf sambil mendedahkan ia sedang menunggu laporan daripada kedua-dua pihak sebelum tindakan diambil. "Kami kesal dengan apa yang berlaku. Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh kita ambil ringan. Kami memahami bahawa keadaan menjadi semakin panas, hampir ke peringkat kalah mati tetapi sikap dan disiplin mesti diutamakan. "Yakinlah kita akan berlaku adil dan tidak berat sebelah," katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.