KLANG: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman perlu memohon maaf di atas kenyataan bahawa beliau akan menampar orang Cina dari Malaysia yang mencari perlindungan dari China, kata Chong Sin Woon. "Jika kesilapan telah dibuat, minta maaf adalah satu perkara biasa bagi semua individu. "Ia adalah perkara yang tepat untuk dilakukan," kata Ketua Pemuda MIC kepada pemberita pada majlis perasmian Program Pengenalan STEM Komputer Sains Pendidikan Abad Ke-21 untuk SJKC Negeri Selangor di SJKC Kong Hoe pada Isnin. Beliau berkata perkara itu tidak boleh berlarutan sehingga menjadi isu masyarakat dan perkauman. Tajuddin menafikan telah membuat kenyataan tersebut. Malah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menggesa MCA untuk berhenti mengkritik timbalan menteri itu berhubung perkara tersebut dan meminta ia diselesaikan dalam rangka kerja Barisan Nasional. Tengku Andnan juga berkata Umno tidak akan memaksa Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak untuk memohon maaf kepada masyarakat Cina. Chong berkata Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menyatakan isu tersebut akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi BN untuk diselesaikan. "Apa yang kami mahukan hanyalah permohonan maaf. "Beliau kata hanya bergurau tetapi ini adalah sesuatu yang tidak boleh dijadikan jenaka," kata Chong.