suria

Najib Arah Peguam Tuntut Dr Ling Mohon Maaf - Portal Berita

Dr Ling Liong Sik.

KUALA LUMPUR: Portal berita TV14 pada Isnin melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan peguam beliau supaya menuntut bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa meminta Najib melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri.

Kenyataan Dr Ling itu didakwa disiarkan dalam sebuah portal berita berbahasa Inggeris dua hari lepas.

Menurut portal berita TV14, surat berhubung tuntutan itu yang diserahkan terus kepada Dr Ling pada Isnin, dikeluarkan oleh Tetuan Hafarizam Wan and Aisha Mubarak bagi pihak Najib dalam kapasiti peribadi beliau, dan antara lain menuntut Dr Ling memohon maaf dalam masa tujuh hari selepas menerima surat berkenaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang bakal diambil terhadap bekas menteri pengangkutan itu, kata portal berita berkenaan.

Menurut TV14, peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili firma guaman itu, dalam suratnya kepada Dr Ling menyatakan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat olehnya adalah satu fitnah, dan merosakkan reputasi perdana menteri selain mempunyai kecenderungan untuk merendahkan Najib dalam pemikiran masyarakat.

Portal itu menyatakan bahawa Hafarizam juga menuntut Dr Ling supaya menarik balik kenyataan yang didakwa itu, membuat permohonan maaf tidak berbelah bahagi serta membayar pampasan yang munasabah ekoran kenyataan fitnah itu. - BERNAMA

TV14, Dr Ling Liong Sik

Artikel Lain