BANTING: Tabung Haji (TH) pada Selasa menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,500 kepada balu seorang jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji di Makkah bulan lepas. Allahyarham Ahmad Turidi Hashim, 63, yang menunaikan haji bersama isterinya, Nooraini Mohd Salleh, 61, meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam bilik penginapan, pada 27 September lepas. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah. Menurut Nooraini, beliau dan suami berlepas ke Tanah Suci pada 27 Ogos lepas. "Allahyarham mula demam setelah selesai mengerjakan ibadah melontar jamrah sebelum ditemui mati di bilik penginapan sebuah hotel di Makkah kira-kira 2 pagi (waktu Arab Saudi) pada 27 September lepas. "Beliau meninggal dunia selepas selesai Hari Wukuf pada 23 September lepas," katanya kepada pemberita selepas menerima wang khairat kematian daripada Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji Tan Sri Shukry Mohd Salleh di kediamannya di Taman Sri Putra, Banting di sini. Nooraini yang mempunyai tiga anak perempuan berumur antara 30 dan 37 tahun berkata ini merupakan ibadah haji kedua Allahyarham yang juga merupakan seorang pesara Telekom. Sementara itu, Shukry menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan insan tercinta. - BERNAMA