suria

Culik: Isteri Bimbang Ancaman Penggal Kepala Jadi Realiti

KOTA KINABALU: Tiap hari pasti terlintas di fikiran mengenai nasib suaminya dan seorang lagi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, selatan Filipina.

Penculik mengancam untuk memenggal kepala tebusan dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen, 39, yang boleh bertukar menjadi realiti sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membebaskan kedua-dua tebusan itu.

Pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50, turut diculik bersama dengan Then pada 14 Mei lalu dan kini masih dalam tahanan kumpulan tersebut.

"Saya rasakan setiap hari suami saya terus hidup adalah hari yang diberikan oleh Tuhan. Ancaman mereka untuk memenggal kepala suami saya terus bermain di fikiran.

"Kami hanya tidak mempunyai wang atau bermaksud untuk membangkitkan wang tebusan, adalah penting bagi kerajaan untuk bertindak pantas dalam membebaskan suami saya dan Thien.

"Tempoh akhir untuk membayar wang tebusan itu sudah tamat. Saya bimbang kali ini mereka akan melakukan ancaman tersebut. Saya berasa agak marah dan jengkel dengan kelewatan itu," kata isteri Then, Chan Wai See dalam satu temubual menerusi telefon.

Chan cemas menunggu khabar gembira daripada kerajaan yang akan membolehkan beliau bertemu semula dengan suaminya di Kuala Lumpur.

Then sedang bercuti bersama isterinya semasa diculik bersama dengan Thien di sebuah restoran makanan laut, Ocean King yang terletak beberapa kilometer dari Sandakan.

Ia adalah kali pertama penculik rentas sempadan memasuki negeri itu berbanding dengan penculikan sebelum ini yang hanya berlaku di kawasan terpencil.

Chan berkata ibu bapa Then yang berada di Kuching turut bimbang dengan nasib anak mereka.

"Ibu Then sering menghubungi saya dan menangis. Namun saya tidak tahu apa untuk diperkatakan, saya juga buntu," katanya.

Kedua-dua keluarga mangsa menerima panggilan berbaur ancaman sekiranya wang tebusan yang dilaporkan bernilai antara 30 juta peso (RM2.8 juta) tidak dibayar.

Menurut sumber Filipina dan Malaysia di Jolo, mereka bimbang ancaman untuk memenggal kepala dua tebusan itu akan menjadi kenyataan kerana kumpulan Abu Sayyaf itu, kini melarikan diri daripada tentera Filipina yang memburu sebuah lagi kumpulan yang menculik dua warga Kanada di Pulau Samal (Filipina) pada 21 September lalu.

Sumber itu menjelaskan bahawa Then mengalami kecederaan kaki dan perlu dipapah setiap kali kumpulan tersebut melarikan diri ke kawasan lain.

Kedua-dua mangsa dipercayai ditawan seorang Komander Abu Sayyaf, Indang Susukan yang mahu mendapatkan wang dengan segera untuk membiayai operasi ketenteraan mereka.


Bernard Then, culik, Abu Sayyaf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut