suria

Titah Majlis Raja-Raja Isyarat Isu 1MDB Serius - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kandungan titah dalam kenyataan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada Selasa supaya kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan segera menunjukkan keprihatinan Raja-Raja Melayu terhadap isu itu.

Katanya, Majlis Raja-Raja biasanya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kecuali ia melibatkan isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara, justeru tanggungjawab ini terletak di bahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila Majlis Raja-Raja bertitah mengenai isu 1MDB, ini menandakan 1MDB adalah satu isu yang amat besar pada hemat baginda sekalian dan membayangkan kebimbangan mereka tentang kesan negatif kemelut 1MDB terhadap rakyat jelata dan negara. Titah Majlis Raja-Raja dalam hal ini amatlah saya hargai dan sanjung tinggi.

"Oleh kerana Majlis Raja-Raja telah bertitah menggesa kerajaan supaya bertindak segera menyelesaikan kemelut 1MDB, maka pihak yang sewajarnya menjunjung titah baginda sekalian ialah YAB Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Rabu.

Muhyiddin berkata, perkembangan siasatan dan pendakwaan berhubung skandal 1MDB amat mendukacitakan.

"Di satu peringkat kerajaan kelihatan serius untuk menyelesaikan kemelut ini, tetapi kemudiannya perkembangan proses siasatan kelihatan perlahan dan hampir tergendala. 

"Seolahnya terdapat tangan-tangan ghaib yang sengaja mahu menutup kesalahan pihak-pihak tertentu. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Bekas timbalan menteri berkata, sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak berhubung skandal 1MDB.

"Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, telah membuat kenyataan bahawa BNM telah pun menyelesaikan siasatan berhubung transaksi 1MDB dan hasil siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara pada bulan Ogos yang lalu.

"Jika hasil siasatan Bank Negara mengandungi bukti-bukti yang boleh mensabitkan mana-mana pihak dengan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang negara, maka adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka yang terbabit di mahkamah," katanya.

Katanya, Peguam Negara wajar tampil dalam masa terdekat untuk memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai perkembangan mutakhir berhubung perkara ini.

"Saya khuatir oleh kerana kemelut 1MDB adalah satu isu yang menyentuh kepentingan awam, maka kelewatan Peguam Negara membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), beliau berkata keanggotaan PAC mesti diisi dengan segera untuk membolehkan jawatankuasa ini meneruskan siasatan mereka terhadap 1MDB.

Jelasnya, malang sekiranya siasatan oleh PAC terbengkalai hanya disebabkan beberapa ahlinya menerima pelantikan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan ekoran rombakan kabinet baru-baru ini.

"Masyarakat umum juga tertunggu-tunggu laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Laporan awal mengenainya telah pun diserahkan kepada PAC. Dengan siasatan oleh PAC yang tergendala setakat ini, masyarakat umum pastinya ingin mengetahui status laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB," katanya.

Artikel Lain