PUTRAJAYA: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menawarkan akses pasaran yang luas kepada syarikat Malaysia serta memberikan kelebihan kompetitif kepada pengeksport berbanding pesaing serantau, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata, pengeksport barangan elektrik, elektronik, kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen automotif boleh memasuki Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat yang mana Malaysia tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas. "Ini akan menjana pendapatan yang besar untuk ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan untuk beribu-ribu rakyat Malaysia," katanya pada taklimat media mengenai TPPA di sini, Rabu. MITI berpuas hati dengan rundingan TPPA yang baru dimuktamadkan kerana antara lain tekstil Malaysia akan dapat memasuki pasaran AS, kata Mustapa. Menurutnya, semua pihak terbabit telah mencapai persetujuan di mana duti import untuk hampir semua produk akan dihapuskan. Mustapa berkata, Malaysia berpendirian tegas yang Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan dan dasar teras negara dilindungi sepanjang rundingan lima tahun itu. "Inilah yang berlaku dalam semua rundingan perdagangan kita yang lepas tanpa sebarang pengecualian. Hampir semua kebimbangan dan kepentingan kita, terutama dalam bidang sensitif seperti pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara dan isu Bumiputera, diberi pertimbangan," katanya. Mengenai kemasukan peruntukan syarikat milik negara (SOE) untuk Khazanah Nasional Bhd dan Petroliam Nasional Bhd dalam TPPA, Mustapa berkata, MITI akan berjumpa lembaga pengarah Khazanah dan Petronas untuk membincangkan beberapa cadangan yang dibawa dari Atlanta. "Kita perlu mendapat kelulusan mereka dan kemudian membincangkan lebih lanjut dengan negara anggota TPP lain," tambahnya. Menurutnya, kerajaan akan terus memastikan sebarang perbincangan mesti seiring dengan model sosio ekonomi negara, termasuk peranan penting SOE dalam transformasi negara. Rundingan lima tahun TPPA itu baru akhirnya dimuktamadkan di Atlanta, Amerika Syarikat pada 5 Oktober lalu. TPPA itu melibatkan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), iaitu Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Vietnam. Mengenai isu hak harta intelek, Mustapa berkata, Malaysia berpendirian tegas yang perjanjian itu tidak menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang berharga berpatutan dan pada masa sama menawarkan insentif yang diperlukan untuk pengeluaran ubat-ubatan baharu. "Semua pihak telah mencapai perjanjian seimbang untuk memastikan kepentingan mereka diberi pertimbangan. Oleh itu, TPPA itu tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam dasar paten ubat-ubatan Malaysia," tambahnya. Ketika ditanya sama ada China akan mempercepatkan rundingan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) berikutan pemuktamadan TPPA, Mustapa berkata, TPPA bukan satu isu untuk itu. Menurutnya, mesyuarat peringkat menteri G20 di Turki awal minggu ini mengalu-alukan pemuktamadan TPPA dan yakin ia akan memberi momentum untuk lebih banyak kemajuan dalam rundingan lain, termasuk RCEP. "Sebagai Pengerusi ASEAN, ia akan memberi motivasi kepada kita dalam proses RCEP yang akan berlangsung di Busan, Korea Selatan tidak lama lagi," katanya. RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) di antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara di mana kumpulan serantu itu sudah pun mempunyai FTA, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.