suria

Bapa Cam Mayat Sasa Berdasarkan Gelang Dan Subang

Sobrie Latif dan isterinya Amek Alang menangis sambil ditenangkan oleh saudara-mara selepas membuat pengecaman terhadap mayat Sasa di Hospital Gua Musang, Khamis. -foto THE STAR
GUA MUSANG: Gelang getah dan subang yang belum tertanggal dari telinga mayat budak perempuan yang ditemui reput di Sungai Perias, Pos Tohoi pada Rabu menyakinkan seorang bapa bahawa mayat itu adalah anaknya.

Menurut Sobrie Latip, 25, beliau mengecam mayat anaknya, Sasa, 8, yang hilang bersama enam lagi murid Sekolah Kebangsaan Tohoi sejak 23 Ogos lepas, dalam proses pengecaman mayat budak perempuan yang ditemui malam semalam, di bilik mayat Hospital Gua Musang (HGM) Khamis.

Sobrie mengakui sejak kehilangan Sasa bersama enam lagi rakannya, beliau terlalu rindukan anak kesayangannya itu.

"Saya tidak sangka keadaan ini yang berlaku dan saya mengecam mayat itu adalah Sasa apabila terdapat gelang getah pada tangannya untuk dia guna ikat rambut, dan subang yang masih ada di teliga.

"Bagaimanapun, anggota lain sukar dicam kerana telah reput termasuk rambut juga telah gugur dipercayai terlalu lama dalam air," katanya kepada pemberita di HGM di sini, Khamis.

Sobrie yang kelihatan begitu sedih berkata beliau juga telah berusaha bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan anaknya sebelum ini, namun gagal.

"Tetapi hari ini hanya dapat melihat mayat anak perempuan saya dan nasib enam lagi rakannya belum dapat diketahui," katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.
Sasa, Sobrie Latip

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain