suria

Saman Utusan: 19 Oktober Untuk Tentukan Jumlah Ganti Rugi Diperoleh Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 19 Oktober untuk menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Utusan Melayu (Malaysia) Bhd kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah yang dimenangi bekas ketua pembangkang itu dua tahun lepas.

Saman itu berhubung dua artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Utusan dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan untuk menggunakan sabitan lampau Anwar bagi mengurangkan jumlah ganti rugi yang akan dikenakan ke atas mereka.

Hue dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 29 Mei lalu dalam saman yang difailkan Anwar terhadap S. Nallakaruppan, Utusan Melayu dan Abdul Aziz.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan sabitan jenayah lampau tidak boleh digunakan dalam kes saman sivil.

"Oleh itu, permohonan Utusan tidak boleh diterima dan tidak boleh dibenarkan oleh mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Oktober untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T Singham memutuskan dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Januari 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah dan membenarkan tuntutan saman Anwar dengan kos sebanyak RM45,000.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Januari 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Januari tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.


Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin Muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Anwar yang diwakili peguam N.Surendran dan Latheefa Koya hadir pada prosiding hari ini. Kedua-dua defendan diwakili Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Artikel Lain